Cari Blog Ini

Ahad, 7 Oktober 2012




sambungan....

BAB 18.1 QURBAN DAN PENGERTIAN QURBAN


 WAKTU PELAKSANAAN IBADAH QURBAN
  •  Waktu bagi menyembelih qurban bermula setelah selesai sembahyang Hari Raya dan bacaan khutbahnya iaitu setelah naik matahari sekadar segalah. Masanya berterusan siang dan malam sehingga Hari Tasyrik yang akhir iaitu sebelum terbenam matahari pada hari tersebut. Ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayat oleh
     Al-Barra’ bin ‘Azib 
    :
“Perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini ialah bersembahyang, kemudian kita balik dan melakukan penyembelihan qurban. Sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka ia merupakan daging yang disediakan untuk ahli keluarganya. Ia tidak dikira sebagai ibadah khas (qurban) ini sedikit pun.”
BINATANG QURBAN
 Perbincangan tentang binatang qurban ini meliputi empat perkara :
  1. Jenis binatang yang diqurban.
  2. Umur binatang qurban.
  3. Kadar binatang yang disembelih.
  4. Sifat–sifat binatang qurban.
1. Jenis Binatang Yang Diqurban
Para ulama’ sependapat bahawa ibadah qurban tidak sah kecuali dengan menggunakan binatang an‘am, iaitu binatang jinak yang berkaki empat seperti unta, lembu dan kerbau, kambing biri–biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina. Oleh itu, tidak sah berqurban dengan menggunakan binatang yang lain daripada binatang an‘am ini seperti kerbau liar dan kijang.
  • Firman Allah subhanahu wata‘ala:
{ وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ اْلأَنْعَمِ
Maksudnya:
“Dan bagi tiap-tiap satu umat, Kami syari‘atkan ibadah menyembelih qurban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu.”
(Surah Al-Hajj 22:34)
  • Tidak terdapat sebarang dalil sama ada yang dinaqalkan daripada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam atau sahabat yang menunjukkan mereka berqurban dengan binatang selain daripada binatang-binatang ternakan (an‘am) ini. Oleh kerana qurban merupakan satu ibadah yang dikaitkan dengan binatang, maka ia hanya ditentukan kepada binatangan‘am sahaja sama seperti ibadah zakat.
  • Adapun binatang yang lebih afdhal diqurban ialah unta diikuti dengan lembu kemudian biri-biri atau kibasy kemudian kambing. Ini memandangkan kuantiti dagingnya yang lebih banyak bagi maksud pengagihan yang lebih meluas untuk fakir miskin.
  • Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam juga telah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dengan mandi junub, kemudian dia pergi (ke Jumaat) maka dia seolah-olah telah berqurban seekor unta. Sesiapa yang pergi pada saat kedua maka dia seolah-olahnya berqurban dengan seekor lembu. Sesiapa yang pergi pada saat ketiga maka dia seolah-olah berqurban dengan seekor kibasy yang bertanduk.”
 2. Umur Binatang Qurban
Umur binatang yang hendak diqurbankan berbeza-beza mengikut jenis binatang iaitu:
  1. Unta disyaratkan telah berumur lima tahun dan masuk ke umur enam tahun.
  2. Kambing dan lembu disyaratkan telah berumur dua tahun dan masuk ke umur tiga tahun.
  3. Kibasy disyaratkan telah memasuki umur dua tahun.
  4. Bagi anak unta, lembu, kambing dan kibasy yang telah berumur dua tahun lebih (yang telah bersalin gigi) harus dijadikan qurban.
3. Kadar Binatang Yang Disembelih
Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy hanya mencukupi sebagai qurban untuk seorang sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi qurban bagi tujuh orang. Ini berdasarkan hadith Jabir: 
“Kami berqurban bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.”
  • Dalam riwayat Muslim pula menyebut :
“Kami keluar bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengurbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta.”
 4. Sifat–Sifat Binatang Qurban
Sifat–sifat binatang qurban sama ada betina atau jantan yang digariskan oleh syara‘ adalah seperti berikut:
  • Terang penglihatannya iaitu tidak buta.
  • Tidak cacat seperti kudung kaki, putus ekornya, terpotong hidungnya atau sebagainya.
  • Gemuk, tidak harus pada binatang yang terlalu kurus.
  • Ciri-ciri yang afdhal terdapat pada binatang qurban itu:
  • Gemuk pada keseluruhan anggotanya.
  • Bertanduk.
  • Putih warna bulunya (pada kibasy).
  • Jantan.
Sifat yang makruh pada binatang qurban:
  • Rabit telinganya.
  • Terpotong sedikit bahagian belakang atau depan telinganya.
  • Tidak mempunyai tanduk sejak asalnya.
  • Patah tanduk sebelah atau keduanya atau pecah bahagian tanduknya.
  • Tanggal sebahagian giginya disebabkan tua atau jatuh.
  • Kabur penglihatannya.

    bersambung.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan