Cari Blog Ini

Ahad, 7 Julai 2013

RAMADHAN UJIAN IMAN UMAT ISLAM


SETIAP Muslim memaklumi bahawa Ramadan adalah bulan suci yang penuh rahmat, bulan dilipat gandakan ganjaran pahala bagi setiap amal kebajikan, malah kedatangannya dianggap tamu agung yang wajar disambut dengan perasaan penuh gembira.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Telah datang kepadamu bulan Ramadan, penghulu segala bulan. Selamat datanglah kepadanya. Bulan puasa datang dengan pelbagai berkat. Alangkah mulianya tamu yang datang itu." (HR At-Thabrani) Umat Islam yang masih dikurniakan Allah dengan nikmat kesihatan dan dipanjangkan usia patut benar bersyukur kepada-Nya kerana dapat lagi menikmati suasana dan keberkatan bulan Ramadan 1421H ini, terutama untuk melaksanakan amalan puasa dengan sempurna dan sebaik-baiknya.

Golongan yang bersungguh-sungguh beriman sudah tentu sangat gembira dengan kehadiran bulan ini yang penuh dengan pelbagai keberkatan dan keampunan yang munculnya hanya sekali dalam setahun.

Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan mengenai balasan kepada mereka yang berasa amat sukacita dengan kedatangan Ramadan, iaitu dengan sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang bergembira dengan datangnya bulan Ramadan, maka Allah mengharamkan jasadnya masuk ke dalam semua pintu neraka." (HR Baihaqy dan Ibnu Majah)

Kegembiraan menyambut Ramadan dan mengerjakan amalan puasa itu bertambah lagi apabila mengingati segala dosa orang yang melaksanakan puasa (tentunya jika dengan benar-benar ikhlas) akan diampuni oleh Allah, baik yang telah lalu mahupun yang akan datang, iaitu sekiranya puasa itu ditunaikan dengan sempurna dan penuh penghayatan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharap pahala Allah, diampunkan dosanya yang lalu dan yang akan datang." (HR Ahmad)







Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila tiba malam pertama dari bulan Ramadan, semua syaitan dan jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup rapat sehingga tidak satu pun yang terbuka. Sebaliknya pintu syurga dibuka lebar dan tidak satu pun tertutup. Kemudian muncul seruan pada setiap malam: Hai orang yang baik, majulah, dan orang yang jahat, berhentilah. Dan Allah membebaskan beberapa penghuni neraka dan hal ini berlaku setiap malam bulan Ramadan." (HR Ibnu Hibban dan al-Hakim) Memasuki Ramadan bermakna kita melangkah ke gerbang ujian dan latihan. Kita tentu tidak mahu puasa yang kita kerjakan dengan bersusah payah menahan lapar dan dahaga itu tidak memperolehi apa-apa nilai atau ganjaran daripada Allah.

Ada baiknya kita merenung bagaimanakah cara Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan Ramadan. Apa yang baginda lakukan ialah antaranya seperti banyak mengerjakan amalan kebajikan dan ibadah puasa.

Hal ini didasarkan kepada penjelasan sebuah hadis dinyatakan bahawa: "Adalah Rasulullah kadang-kadang terus menerus berpuasa sehingga kami mengatakan yang baginda tidak berbuka dan terkadang terus menerus berbuka sampai kami mengatakan yang baginda tidak pernah berpuasa sunat. Tetapi saya tidak pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa sebulan penuh selain bulan Ramadan dan saya tidak pernah melihat baginda banyak melakukan puasa selain puasa pada bulan Syaaban."

Satu lagi cara Rasulullah menyambut Ramadan ialah dengan menyampaikan ceramah pada akhir bulan Syaaban untuk menjelaskan kebesaran dan keagungan bulan Ramadan.

Pada satu kesempatan pada penghujung Syaaban, Rasulullah pernah menyampaikan khutbah yang isinya amat menggembirakan dan menenangkan jiwa, yang mengandungi pesan dan janji-janji serta harapan bagi mereka yang beriman yang melaksanakan puasa itu.

Bunyi khutbah itu ialah: "Wahai manusia! Sudah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, di dalamnya terdapat satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan dan Allah s.w.t. mewajibkan puasa di dalamnya, bangun di malam harinya merupakan sunnah. Barangsiapa menghampirkan dirinya kepada Allah dengan melaksanakan amal kebaikan, samalah dengan mengerjakan yang wajib di bulan lain. Siapa melaksanakan ibadah wajib (fardu), pahalanya seperti tujuh puluh yang wajib di bulan lain. Ramadan adalah bulan kesabaran manakala ganjaran atas kesabaran itu adalah syurga."

Bulan ini juga adalah bulan pertolongan dan bertambahnya rezeki. Sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, ia akan memperolehi keampunan atas segala dosanya, juga pembebasan daripada api neraka. Rasulullah kemudian ditanya oleh sahabat: Ya Rasulullah, tidak semuanya kami mampu berbuat demikian. Rasulullah secara tegas menjawab:









Ketahuilah, bahawa Allah s.w.t. akan mengurniakan pahala kepada orang yang memberi makanan berbuka puasa walaupun dengan sebiji kurma atau seteguk air ataupun sedikit susu."

Permulaan Ramadan adalah rahmat (kasih sayang), pertengahannya adalah pengampunan dosa manakala di akhir atau penghujungnya pembebasan daripada api neraka.

Perhatikan empat hal iaitu dua hal untuk keredaan Tuhan dan dua hal lagi untuk keperluan. Dua untuk Allah adalah: Engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan memperbanyak minat meminta ampun kepada Tuhanmu.

Untuk keperluan sendiri adalah: Mengharapkan syurga dari Allah dan berlindung kepada-Nya daripada seksa api neraka. Barangsiapa yang memberi minuman (berbuka) kepada orang berpuasa, Allah akan memberinya minum dari telaga (kausar), sekali minum tidak akan haus selamanya sampai ia masuk syurga dengan selamat. (HR. Ibnu Khuzaimah dari Salman al-Farisi). Demikian ringkasan khutbah Baginda.

Menyentuh apakah upacara khusus yang perlu dibuat bagi menyambut kehadiran Ramadan, Rasulullah tidak pula pernah memberikan contoh. Apa yang perlu diingat bahawa janganlah upacara atau persiapan yang akan dibuat itu banyak mengorbankan tenaga dan menghabiskan biaya, apalagi jika sampai melanggar susila keagamaan kerana ini adalah sesuatu yang tercela menurut Islam.

Apa yang sangat perlu dilakukan ialah benar-benar berusaha memahami ketentuan puasa itu agar amalan yang akan dilaksanakan benar-benar bersesuaian dengan ajaran dan petunjuk Nabi, sehingga amalan itu dapat memberi nilai tambah untuk bekalan menuju alam baqa'.

Oleh itu sudah sewajarnya pada bulan Ramadan, kita perlu bekalkan diri dengan ilmu, sekurang-kurangnya menyemak kembali hal yang berhubung dengan puasa dengan cara membaca buku-buku agama. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa nilai atau ganjaran daripada puasa itu kecuali lapar dan dahaga.

Akhirnya marilah kita memanfaatkan kehadiran Ramadan dengan cara memperbanyak amal soleh dan kebajikan kerana sesungguhnya Ramadan tidak selalu hadir dalam hidup kita.

Mana tahu kita tidak berkesempatan lagi menemui Ramadan pada tahun akan datang kerana tiada siapa yang mengetahui bilakah saat dan ketikanya kita dipanggil kembali ke sisi-Nya.

Sabtu, 6 Julai 2013

RAMADHAN AKAN MENJELANG

RAMADHAN AKAN MENJELANG


http://medimoon.com/2012/07/say-welcome-to-ramadan/

                           Apa Persediaan Kita?



Bulan Ramadhan hampir tiba. Ramadhan adalah tetamu agung umat Islam, yang
membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat. Kelebihannya mendorong
minat menambah amal ibadat.


Biasanya kita akan gembira menyambut mana-mana tetamu yang akan
mengunjungi kita, bahkan akan terlebih dahulu membuat persiapan sambutan
yang selayaknya. Begitulah dengan ketibaan bulan Ramadan ini. Umat Islam
yang sebenar pasti akan gembira menyambutnya, dan akan mengalu-alukan
dengan membuat berbagai persediaan yang bersesuaian sebagaimana amalan
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan amalan para ulama salafussalih ketika
menyambut kedatangan tetamu mulia itu.


Berikut ini dicatatkan beberapa perkara yang perlu diketahui dan diamalkan
berhubung dengan bulan Sya'ban sebagai persediaan menyambut bulan Ramadhan
yang akan menjadi tetamu kita.


1. Bergembira dan Berdoa


Bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadhan merupakan bulan-bulan agung. Bulan Rejab
disebut baginda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai bulan Allah,
Sya'ban sebagai bulan baginda dan Ramadhan sebagai bulan umat Islam.


Sabda baginda:


Maksudnya: 'Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan
umat ku'.

                                                  (AI Jami'al-Shaghir: 2-9)

Salah satu daripada ketiga-tiga bulan itu, ialah bulan Sya'aban telah
dinisbahkan baginda kepada diri baginda dan ini membawa pengertian bahawa
keagungan bulan Sya'ban bertambah kerana ia disandarkan kepada manusia
yang paling agung dan mulia. Bahkan dalam satu riwayat Nasa'i dari Aisyah
disebutkan bahawa bulan Sya'ban termasuk bulan yang paling disukai Nabi.
Dalam bulan ini Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, memperbanyak puasa
sunat.

Manakala bulan Ramadhan adalah bulan yang dinisbahkan kepada umat baginda,
iaitu umat Islam, penisbahan Ramadhan kepada umat Islam adalah sebagai
simbolik kepada masa dan peluang umat Islam untuk beramal dan
melipat-gandakan usaha yang berkebajikan di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan
al-Quran diturunkan, di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari
seribu bulan dan lain-lain kelebihan lagi. Maka tujuan dari simbolik ini,
umat Islam melipat-gandakan ibadah di dalamnya dan supaya menyambut
ketibaannya dengan suka dan gembira, berdoa dan mengharap supaya sampai ke
Ramadhan yang mulia. Sehubungan dengan kegembiraan menyambut Ramadhan ini,
At-Thabrani dan lain-lain meriwayatkan dari Anas Radiallahu'Anh, bahawa
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebelum tiba bulan Ramadhan, mulai dari
masuk bulan Rejab, baginda sering berdoa. Diantara doa baginda itu ialah:


Maksud: 'Ya Allah berilah keberkatan kepada kami di bulan Rejab dan
Sya'ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan'.

Rasulullah Sallallahu'Alaihi Wasallam juga mengembirakan para sahabatnya
sempena menyambut ketibaan bulan Ramadhan mulia ini.


Perkara ini pernah diceritakan oleh Salman al-Farisi sebagaimana yang
diriwayatkan Ibnu Khuzaimah dan lain-lain, bahawa apabila tiba akhir bulan
Sya'ban Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam memberikan khutbah kepada
para sahabat yang antara lain mengandungi beberapa panduan dan dorongan
untuk memperbanyak amal ibadah dalam bulan Ramadhan.


Panduan dan dorongan yang diberikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
ini membuatkan para sahabat merasa gembira menyambut ketibaan bulan
Ramadhan mulia ini.


2. Puasa Sunat


Salah satu kegiatan ibadah yang perlu dilakukan dalam bulan Sya'ban ialah
memperbanyak puasa sunat, sama ada puasa sunat khas Sya'ban, puasa sunat
lsnin dan Khamis ataupun puasa sunat kadha.


Perkara ini telah dipraktikkan sendiri oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam sebagaimana hadis'Aisyah:


Maksudnya : 'Daripada 'Aisyah Radiallahu 'anh, katanya : Aku tidak pernah
melihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyempurnakan puasa dalam
satu bulan, melainkan bulan Ramadhan, dan aku tidak melihat baginda dalam
mana-mana bulan lain lebih banyak berpuasa melainkan dalam bulan Sya'ban.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)'.


Banyak lagi hadis-hadis yang memperkatakan bahawa puasa sunat yang paling
banyak dilakukan baginda ialah dalam bulan Sya'ban. Di samping sebagai
menyambut ketibaan bulan Ramadhan, baginda pernah ditanya oleh Usamah bin
Zaid tentang hikmat puasa yang dilakukan baginda dalam bulan Sya'ban.
Baginda bersabda:



Maksudnya: 'Bulan Syaban yang berada diantara Rejab dan Ramadhan adalah
bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya
amal ibadah kepada Tuhan seru sekalian alam, maka aku suka supaya amal
ibadah saya diangkat ketika saya berpuasa'.


Di antara puasa sunat yang dilakukan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam termasuklah puasa sunat kadha yang tidak sempat dilakukan baginda
sempena sesuatu yang sudah lepas masanya.


Berkata lbnu Hajar, ketika mengulas perkara ini:


Ertinya: Adalah baginda Sallallahu Alaihi sallam apabila luput daripadanya
mana-mana amalan sunatnya, baginda akan mengkadhanya, seperti sunat-sunat
yang ada dalam sembahyang dan sembahyang malam. Begitu juga apabila masuk
bulan Syaban dan baginda mempunyai baki puasa sunat yang belum dilakukan,
baginda akan mengkadhanya dalam bulan Syaban itu'.


Dalam perkara puasa sunat di dalam bulan Sya'ban ini, mengikut pendapat
yang muktamad adalah boleh berpuasa sunat walaupun sudah pertengahan bulan
Sya'ban tetapi puasanya itu bersambung dengan hari-hari sebelumnya, yakni
dia telah berpuasa sunat mulai sebelum masuk pertengahan Sya'ban. Adapun
berpuasa sunat sebelum masuk pertengahan bulan Sya'ban saja tidak
dipertikai keharusannya.


3. Mengkadha Puasa Wajib


Puasa Ramadhan yang tertinggal tetap wajib dikadha pada bila-bila masa,
tetapi bulan Sya'ban pada tahun berkenaan merupakan masa atau pcluang
terakhir buat tahun itu untuk mengkadha puasa Ramadhan yang tertinggal.
Maksud peluang terakhir disini ialah bagi mengelakkan membayar fidyah,
kerana jika sudah masuk bulan Ramadhan kedua, sedangkan puasa Ramadhan
tahun yang sebelumnya belum dikadha, maka disamping kewajipan mengkadanya,
wajib pula mengeluarkan fidyahnya.


Bagi sesiapa yang masih belum mengkadha puasa Ramadhan tahun lepas,
eloklah mengambil kesempatan mengkadhanya pada bulan Sya'ban ini agar
tidak terkena wajib membayar fidyah.


Sehubungan dengan perkara wajib mengkadha puasa Ramadhan bagi wanita
wanita yang sedang berhaid di bulan Ramadhan, 'Aisyah Radiallahu'anh pemah
memberi keterangan kepada Mu'azah al'Adawiah yang antara lain berbunyi:


            


Maksudnya: 'Maka kita diperintahkan mengkadhapuasa (kerana kedatangan
haid) tidak disuruh mengkadha sembahyang yang tertinggal semasa kedatangan
haid)'.


(Hadis riwayat Muslim).



Dan bagi 'Aisyah sendiri yang' tidak sunyi dari menerima tabiat semulajadi
wanita itu, mengambil inisiatif mengkadha puasanya yang tertinggal di
bulan Sya'ban sebagaimana dalam hadis :


Maksudnya: 'Daripada 'Aisyah, katanya:


Saya mempunyai puasa Ramadhan yang tertinggal, dan saya tidak berupaya
menggantinya melainkan dalam bulan Sya'ban".


(Hadis disepakati Bukhari dan Muslim).


Dalam satu keterangan disebutkan 'Aisyah tidak berupaya mengkadha puasanya
dengan segera kerana kesibukannya melayan baginda Rasulullah Sallallahu
'Alaihi Wasallam sebelum masuk bulan Sya'ban. Bagaimanapun apabila bulan
Sya'ban muncul barulah dia berkesempatan mengkadha puasanya, kerana pada
bulan (Sya'ban ini baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sudah
mulai sibuk hendak menyambut bulan Ramadhan dengan berpuasa sunat.


Fidyah


Di antara makna Fidyah dalam hal puasa ialah bayaran denda kerana tidak
berpuasa Ramadhan dengan sebab-sebab tertentu atau kerana
melambat-lambatkan mengkadha puasa Ramadhan sehingga masuk Ramadhan
berikutnya.


Diantara sebab-sebab wajib mengeluarkan Fidyah puasa ialah:

1.   Tidak berupaya berpuasa iaitu seseorang yang wajib berpuasa, tetapi
tidak sanggup lagi mengerjakannya disebabkan tua, lemah dan sekiranya dia
berpuasa tidak akan dapat menanggung kepayahannya.
2.   Orang yang sakit yang tidak ada harapan sembuh dan tidak berupaya
melakukan puasa.
3.   Perempuan hamil atau yang sedang menyusukan anak, iaitu jika sekiranya
mereka ini berpuasa, maka takut akan mendatangkan mudarat kepada anak yang
dikandung atau bolch mengurangkan air susu yang akan memberi kesan kurang
baik kepada anak yang menyusu.
4.   Sesiapa tidak mengkadha Ramadhan pada tahun berkenaan sehingga masuk
Ramadhan berikutnya tanpa 'uzur syar'i.


    Khusus bagi sebab yang keempat ini, maka bagi sesiapa yang telah
      terlanjur melambat-lambatkan kadha puasa Ramadhan, padahal ia boleh
      mengkadha puasanya itu dengan tiada 'uzur sehingga masuk Ramadhan
      lain, maka tetaplah juga wajib ke atasnya mengkadhanya sebanyak
      hari-hari Ramadhan yang ditangguhnya itu disamping itu wajib pula
      mengeluarkan fidyah mengikut kadar hari-hari berkenaan, iaitu
      sebanyak satu mud atau 15 tahil atau 566.99 gram beras untuk satu
      hari.


    Ertinya satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan maka fidyahnya satu
      mud, jika dua hari, fidyahnya dua mud, jika tiga hari, fidyahnya tiga
      mud begitulah seterusnya.


    Walau bagaimanapun, kadar jumlah satu, dua atau tiga mud itu boleh
      berganda. Umpamanya sehari puasa Ramadhan yang ditinggalkan fidyahnya
      ialah satu mud, tetapi jika masuk tahun kedua belum dikadha fidyahnya
      berganda menjadi dua mud. Masuk tahun ketiga menjadi tiga mud
      sehinggalah dikadha dan begitulah seterusnya.


    Jadi bagi sesiapa yang belum mengkadha puasa Ramadhannya, eloklah
      mengkadhanya dalam bulan Sya'ban ini bagi mengelakkan fidyahnya
      berganda lagi.


    Perlu juga di ingat bahawa disamping kewajipan membayar fidyah, dan
      mengkadha puasa Ramadhan,adalah wajib bertaubat tidak akan
      meninggalkan puasa Ramadhan lagi atau melambatkan mengkadhanya jika
      tidak ada 'uzur syar'i, kerana meninggalkan puasa Ramadhan tanpa'uzur
      adalah haram, dan jika ditinggalkan juga tanpa, 'uzur, wajiblah
      dikadha dengan segera, dan jika dilambat lambat mengkadha nya tanpa
      'uzur hukumnya adalah haram.

Orang Yang Sudah Meninggal



Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana 'uzur syar'i seperti sakit
atau dalam musafir sama ada satu hari atau lebih, kemudian dia mati
sebelum berkesempatan mengkadhanya, maka tidak wajib dikeluarkan fidyah
puasa yang ditinggalkannya itu. Dia juga tidak berdosa kerana dia dikira
tidak dapat melakukan yang wajib atasnya disebabkan suatu 'uzur atau
halangan yang dibenarkan syara'.


Bagaimana jika dia mati setelah berkeupayaan dan berpeluang mengkadhanya,
namun dia tidak mengkadhanya, maka pihak walinya tidak perlu mengganti
puasanya dan tidak sahhukumnya,kerana puasa itu dikira ibadah peribadi
yang tidak dapat diwakilkan semasa hidup.


Berkata Imam Nawawi:


Ertinya: 'Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan (kerana 'uzur syara'),
kemudian dia mati sebelum berkesempatan mengkadhanya, maka dia tidak wajib
membayar fidyahnya dan tidak berdosa. Dan jikalau dia mati selepas
berupaya mengkadhanya, walinya tidak perlu mengganti puasanya mengikut
Kaul Jadid, yang perlu ialah membayar fidyah puasanya bagi setiap hari
satu mud makanan yang diambil dari harta peninggalannya'. (Minhaj
at-Thalibin: 77).

Khamis, 18 April 2013

PERGI LAGI...

Assalamualaikum.w
untuk sahabat2 adam dan hawa
akak2 abg2 ummi2 abi2
dan adik2 SY.. ampun maf d pinta jika ade salah silap SY yea.. samaade sedar atau x sedar sy sakiti..

ingat pesanan sy..
jaga amalan jaga pgaulan jaga pmakaian.. jaga diri jaga aklak jaga maruah..
jaga plajaran.. jaga smua2 tu..

sentiasa minta perlindungan dgn Allah..
mgadu dgn Allah..

smoga bjumpa d sana..

SALAM PERJUANGAN
TAKBIR!!!

Rabu, 17 April 2013

ISTIMEWANYA MENJADI WANITA




ISTIMEWANYA MENJADI WANITA
1.      Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab baginda "ibu lebih penyayang daripadabapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia"

2.      Wanita yang solehah ( baik ) itu lebih baik daripada 1000 orang lelaki yang soleh

3.      Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali

4.      Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh

5.      Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t. akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

6.      Barangsiapa yang membawa hadiah ( barang makanan dari pasar ke rumah ) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Dan hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka, barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak nabi ismail a.s.

7.      Tidaklah seorang wanita yang haid itu,kecuali haidnya merupan kifarat (tebusan) untuk dosa-dosanya yang telah lalu, dan apabila pada hari pertama haidnya membaca "alhamdulillah kulli halin wa astaghfirullah" yang bermaksud "segala puji bagi Allah alam segala keadaan dan aku mohon ampun kepada Allah dari segala dosa". Maka, Allah menetapkan dia bebas dari neraka dan dengan mudah melalui silatul mustaqim, aman dari seksaan, bahkan Allah mengangkatnya ke atas darjat seperti 40 orang mati syahid apabila dia selalu berzikir kepada Allah selama haidnya.


8.      Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama rasulullah s.a.w. di dalam syurga.

9.      Barangsiapa yang mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ehsan dalam pergaulan denga mereka dan mendidik dengan penuh rasa taqwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah
syurga.

10.  Daripada aisyah r.ha. "barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka"

11.  Syurga itu di bawah tapak kaki ibu

12.  Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

13.  Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

14.  Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan meredainya ( serta menjaga solat dan puasanya ).

15.  Aisyah r.ha. Berkata "aku bertanya kepada rasulullah s.a.w. siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita ?" jawab baginda, "suaminya" "siapa pula berhak terhadap lelaki ?" jawab rasulullah s.a.w. "ibunya".

16.  Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan ( ramadhan ), memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki.

17.  Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya ( 10,000 )

18.  Apabila seseorang perempua mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat utuknya. Allah s.w.t mencatatkan baginya setiap hari dengan 1000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1000 kejahatan.

19.  Dua rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

20.  Wanita yang hamil akan mendapat pahala berpuasa pada siang hari.

21.  Wanita yang hamil akan mendapat beribadat pada malam hari.

22.  Apabila seseorang perempuan mula sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

23.  Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah mengurniakan satu pahala haji.

24.  Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

25.  Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya ( susu badan ) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikanya.

26.  Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh ( 2 ½ tahun ), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

27.  Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

28.  Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang menangis, Allah akan memberikan pahala satu tahun solat dan puasa.

29.  Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anaknya yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya. Dan bila dihiburkan hati anaknya, Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

30.  Apabila seseorang wanita mencuci pakaian suaminya, maka Allah mencatatkan baginya seribu kebaikan, dan mengampuni dua ribu kesalahannya, bahkan segala sesuatu yang disinari sang suria akan meminta keampunan baginya, dan Allah mengangkatnya seribu darjat.

31.  Seorang wanita yang solehah lebih baik daripada seribu orang lelaki yang tidak soleh, dan seorang wanita yang melayani suaminya selama seminggu, maka ditutupkan baginya tujuh pintu neraka dan dibuka baginya lapan pintu syurga, yang dia dapat masuk dari mana saja tanpa dihisab.

32.  Mana-mana wanita yang menunggu suaminya sehingga pulang, disapukan mukanya, dihamparkan duduknya atau menyediakan makan minumnya atau merenung ia pada suaminya atau memegang tangannya, memelihara anaknya atau memanfaatkan hartanya pada suaminya kerana mencari keredaan Allah, maka disunatkan baginya akan tiap-tiap kalimah ucapannya, tiap-tiap langkahnya dan setiap renungannya pada suami sebagaimana memerdekakan seorang hamba. Pada hari kiamat kelak, Allah kurniakan nur hingga tercengang wanita mukmin semuanya atas kurniaan rahmat itu. Tiada seorangpun yang sampai ke martabat itu melainkan nabi-nabi.

33.  Tidakkah putus ganjaran dari Allah kepada seseorang apabila isterinya yang siang dan malamnya mengembiraka suaminya.

34.  Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suaminya melihat isterinya dengan kasih sayang akan di pandang Allah dengan penuh rahmat.

35.  Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

36.  Wanita yang melayan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

37.  Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala tola perak.

38.  Dari hazrat muaz "mana-mana wanita yang berdiri atas dua kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka"

39.  Thabit al banani berkata "seorang wanita dari bani israel yang buta sebelah mata sangat baik khidmatnya kepada suami. Apabila ia menghidangkan makanan dihadapan suami, dipegangnya pelita sehingga suaminya selesai makan. Pada suatu malam pelitanya kehabisan sumbu, maka diambilnya rambutnya dijadikan sumbu pelita. Pada keesokannya matanya yang buta telah celik. Allah kurniakan keramat ( kemuliaan pada perempuan itu kerana memuliakan dan menghormati suaminya ).

40.  Pada suatu ketika di madinah, rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis itu. Baginda lalu bertanya, "adakah kamu menyembahyangkan mayat ?" jawab mereka, "tidak" sabda baginda "seeloknya kamu sekelian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu.tetapi tingAllah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat-ibadat orang lelaki.


ADAB BAGAIMANA BERHADAPAN DENGAN SUAMI







ADAB BAGAIMANA BERHADAPAN DENGAN SUAMI


Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan suami.

1.      Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.
2.      Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.
3.      Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.
4.      Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari isnin, Khamis dan Jumaat.

5.      Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.
6.      Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.
7.      Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.
8.      Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.
9.      Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar ke atas setiap isteri kecualilah jika suami kita meredhainya.
10.  Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.
11.  Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya. Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.
12.  Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.


Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya."

Selasa, 16 April 2013

AURAT KAUM WANITA





AURAT KAUM WANITA

1 . Bulu kening
Menurut Bukhari " Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur (menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening) "

Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari
2 . Kaki ( tumit kaki )
" Dan janganlah mereka ( perempuan ) membentakkan kaki ( atau mengangkatnya) agar diketahui perrhiasan yang mereka sembunyikan "

An-Nur : 31
a ) menampakkan kaki
b ) menghayungkan/melenggokkan badan mengikut hentakkan kaki

3 . Wangian
" Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya , maka wanita itu telah dianggap melakukan zina
dan tiap-tiap mata ada zina "

Riwayat Nasaii , Ibn Khuzaimah dan Hibban
4 . Dada
" Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka "
An-Nur : 31
5 . Gigi
" Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya "

Riwayat At-Thabrani
" Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik ,yang merubah ciptaan Allah "

Riwayat Bukhari dan Muslim
6 . Muka dan leher
" Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu "
a ) bersolek ( make-up )
b ) menurut Maqatil : Sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah

7 . Muka dan Tangan
" Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis . Sabda Rasullulah : Wahai Asma ! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaidh tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja "

Riwayat Muslim dan Bukhari
8 . Tangan
" Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya "

Riwayat At Tabrani dan Baihaqi
9 . Mata
" Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya "

An Nur : 31
Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya . Kamu hanya boleh pada pandangan yang pertama , ada pun pandangan seterusnya tidak dibenarkan "

Riwayat Ahmad , Abu Daud dan Tirmidzi
10 . Mulut ( suara )
" Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya , tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik "

Al Ahzab : 32
" Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain , iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi
perempuan , maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi "

Riwayat Ibn Majah
11 . Kemaluan
" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin , hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka (jangan berzina) "

An Nur : 31
" Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu , puasa di bulan Ramadhan , menjaga kemaluannya (tidak berzina) dan menta'ati suaminya , maka masuklah ia kedalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya "

Riwayat Al Bazzar
" Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan dirumah suaminya , melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah "

Riwayat Tirmidzi , Abu Daud dan Ibn Majah
12 . Pakaian
" Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan dihari akhirat nanti "

Riwayat Ahmad , Abu Daud , An Nasaii dan Ibn Majah
" Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat . Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya "

Riwayat Bukhari dan Muslim
a ) Berpakaian tipis / jarang
b ) Berpakaian ketat / membentuk
c ) Berpakaian berbelah / membuka bahagian-bahagian tertentu

" Hai nabi-nabi katakanalah kepada isteri-isterimu , anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan loggar ) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali . Lantaran itu mereka tidak diganggu . Allah maha pengampun lagi maha penyayang "

Al Ahzab : 59
13 . Rambut
" Wahai anakku Fatimah ! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya "

Riwayat Bukhari dan Muslim
14 . " Bagi wanita-wanita yang memelihara dirinya dan menta'ati suaminya , segala makhluk , burung yang terbang , ikan dilaut , malaikat dilangit , matahari dan bulan dan lain-lain memohon keampunan Allah untuknya "


SUAMI YANG BAIK



SUAMI YANG BAIK


1.      Yang berkemampuan sebagaimana hadis Nabi Riwayat Ahmad Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah yang bermaksud:

"Wahai pemuda-pemuda; barang siapa diantara kamu bernikah, maka hendaklah ia bernikah, yang demikian itu amat menundukkan pandangan dan amat memelihara kehormatan, tetapi barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu menahan nafsu." Mampu yang dimaksudkan, berupaya menyediakan tempat tinggal, saraan hidup yang biasa mengikut suasana sekarang, serta pakaian untuk menutup aurat. Perkara-perkara ini wajib dilaksanakan suami dan kegagalan menyempurnakannya boleh mendatangkan kesan buruk dan mudah berlaku perceraian.

2. Boleh dijadikan sebagai ganti ayah bonda. Sanggup melindungi wanita daripada segala bahaya dan kecelakaan yang menimpa kerana apabila seorang wanita rela dinikahi, bererti ia rela melepaskan dirinya daripada ayah bonda yang selama ini menjadi tempat pergantungan hidup. Kini berpindah kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya.

3. Pandai menjaga darjat diri; apabila bercakap dikota dan diamalkan. Selain daripada itu suami yang baik akan sentiasa mengajak isteri ke arah kebaikan, menjauhkan yang mungkar dan mendahului perbuatan itu.


4. Berkebolehan didalam urusan rumahtangga. Kebolehan memasak, menjahit juga membasuh akan membantu kerana lelaki yang biasa membuat kerja begini, tidak akan membebankan isterinya membuat kerja rumah sekiranya isteri tiada kemampuan.

5. Mempunyai penuh kepercayaan kepada perempuan dan tidak mudah bersangka buruk. Biasanya apabila suami bertugas mencari nafkah maka isteri akan menjaga segala amanah harta dan anak di rumah. Sekiranya suami tidak mempunyai kepercayaan kepada isteri, ini bererti suami akan sentiasa menyangka buruk.

6. Rajin, berpemikiran luas dan tidak memakan harta perempuan. Lelaki begini adalah ciri-ciri lelaki yang tidak pemalas, inginkan kemajuan serta tidak mengharapkan titik peluh isteri. Allah sangat tidak menyukai manusia yang hanya bertawakal dan menyerah diri tanpa usaha sedangkan kejayaan dicapai melalui usaha.


7. Mudah memaafkan. Sifat ini adalah sebahagian daripada sifat terpuji Rasullah ketika menegakkan agama Islam. Oleh itu suami bertanggungjawab sepenuhnya kepada isteri dan anak.11

8. Datang daripada keturunan orang yang baik-baik lagi rajin beribadah. Seelok-eloknya, mempunyai akhlak dan budi bahasa mulia, berpegangan agama lagi rajin beribadah dan tidak berpenyakit keturunan seperti gila atau penyakit merbahaya yang boleh membawa kepada kesengsaraan hidup.

Oleh itu buatlah pilihan dengan tepat dan seadil-adilnya kerana ianya akan menjamin masa hadapan yang bahagia..... Wallahua'lam. .dunia ini adalah penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir..hadis..