RAMADHAN AKAN
MENJELANG
Apa Persediaan Kita?
Bulan Ramadhan hampir tiba. Ramadhan adalah tetamu agung umat Islam, yang
membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat. Kelebihannya mendorong
minat menambah amal ibadat.
Biasanya kita akan gembira menyambut mana-mana tetamu yang akan
mengunjungi kita, bahkan akan terlebih dahulu membuat persiapan sambutan
yang selayaknya. Begitulah dengan ketibaan bulan Ramadan ini. Umat Islam
yang sebenar pasti akan gembira menyambutnya, dan akan mengalu-alukan
dengan membuat berbagai persediaan yang bersesuaian sebagaimana amalan
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan amalan para ulama salafussalih ketika
menyambut kedatangan tetamu mulia itu.
Berikut ini dicatatkan beberapa perkara yang perlu diketahui dan diamalkan
berhubung dengan bulan Sya'ban sebagai persediaan menyambut bulan Ramadhan
yang akan menjadi tetamu kita.
1. Bergembira dan Berdoa
Bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadhan merupakan bulan-bulan agung. Bulan Rejab
disebut baginda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai bulan Allah,
Sya'ban sebagai bulan baginda dan Ramadhan sebagai bulan umat Islam.
Sabda baginda:
Maksudnya: 'Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan
umat ku'.
(AI Jami'al-Shaghir: 2-9)
Salah satu daripada ketiga-tiga bulan itu, ialah bulan Sya'aban telah
dinisbahkan baginda kepada diri baginda dan ini membawa pengertian bahawa
keagungan bulan Sya'ban bertambah kerana ia disandarkan kepada manusia
yang paling agung dan mulia. Bahkan dalam satu riwayat Nasa'i dari Aisyah
disebutkan bahawa bulan Sya'ban termasuk bulan yang paling disukai Nabi.
Dalam bulan ini Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, memperbanyak puasa
sunat.
Manakala bulan Ramadhan adalah bulan yang dinisbahkan kepada umat baginda,
iaitu umat Islam, penisbahan Ramadhan kepada umat Islam adalah sebagai
simbolik kepada masa dan peluang umat Islam untuk beramal dan
melipat-gandakan usaha yang berkebajikan di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan
al-Quran diturunkan, di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari
seribu bulan dan lain-lain kelebihan lagi. Maka tujuan dari simbolik ini,
umat Islam melipat-gandakan ibadah di dalamnya dan supaya menyambut
ketibaannya dengan suka dan gembira, berdoa dan mengharap supaya sampai ke
Ramadhan yang mulia. Sehubungan dengan kegembiraan menyambut Ramadhan ini,
At-Thabrani dan lain-lain meriwayatkan dari Anas Radiallahu'Anh, bahawa
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebelum tiba bulan Ramadhan, mulai dari
masuk bulan Rejab, baginda sering berdoa. Diantara doa baginda itu ialah:
Maksud: 'Ya Allah berilah keberkatan kepada kami di bulan Rejab dan
Sya'ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan'.
Rasulullah Sallallahu'Alaihi Wasallam juga mengembirakan para sahabatnya
sempena menyambut ketibaan bulan Ramadhan mulia ini.
Perkara ini pernah diceritakan oleh Salman al-Farisi sebagaimana yang
diriwayatkan Ibnu Khuzaimah dan lain-lain, bahawa apabila tiba akhir bulan
Sya'ban Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam memberikan khutbah kepada
para sahabat yang antara lain mengandungi beberapa panduan dan dorongan
untuk memperbanyak amal ibadah dalam bulan Ramadhan.
Panduan dan dorongan yang diberikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
ini membuatkan para sahabat merasa gembira menyambut ketibaan bulan
Ramadhan mulia ini.
2. Puasa Sunat
Salah satu kegiatan ibadah yang perlu dilakukan dalam bulan Sya'ban ialah
memperbanyak puasa sunat, sama ada puasa sunat khas Sya'ban, puasa sunat
lsnin dan Khamis ataupun puasa sunat kadha.
Perkara ini telah dipraktikkan sendiri oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam sebagaimana hadis'Aisyah:
Maksudnya : 'Daripada 'Aisyah Radiallahu 'anh, katanya : Aku tidak pernah
melihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyempurnakan puasa dalam
satu bulan, melainkan bulan Ramadhan, dan aku tidak melihat baginda dalam
mana-mana bulan lain lebih banyak berpuasa melainkan dalam bulan Sya'ban.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)'.
Banyak lagi hadis-hadis yang memperkatakan bahawa puasa sunat yang paling
banyak dilakukan baginda ialah dalam bulan Sya'ban. Di samping sebagai
menyambut ketibaan bulan Ramadhan, baginda pernah ditanya oleh Usamah bin
Zaid tentang hikmat puasa yang dilakukan baginda dalam bulan Sya'ban.
Baginda bersabda:
Maksudnya: 'Bulan Syaban yang berada diantara Rejab dan Ramadhan adalah
bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya
amal ibadah kepada Tuhan seru sekalian alam, maka aku suka supaya amal
ibadah saya diangkat ketika saya berpuasa'.
Di antara puasa sunat yang dilakukan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam termasuklah puasa sunat kadha yang tidak sempat dilakukan baginda
sempena sesuatu yang sudah lepas masanya.
Berkata lbnu Hajar, ketika mengulas perkara ini:
Ertinya: Adalah baginda Sallallahu Alaihi sallam apabila luput daripadanya
mana-mana amalan sunatnya, baginda akan mengkadhanya, seperti sunat-sunat
yang ada dalam sembahyang dan sembahyang malam. Begitu juga apabila masuk
bulan Syaban dan baginda mempunyai baki puasa sunat yang belum dilakukan,
baginda akan mengkadhanya dalam bulan Syaban itu'.
Dalam perkara puasa sunat di dalam bulan Sya'ban ini, mengikut pendapat
yang muktamad adalah boleh berpuasa sunat walaupun sudah pertengahan bulan
Sya'ban tetapi puasanya itu bersambung dengan hari-hari sebelumnya, yakni
dia telah berpuasa sunat mulai sebelum masuk pertengahan Sya'ban. Adapun
berpuasa sunat sebelum masuk pertengahan bulan Sya'ban saja tidak
dipertikai keharusannya.
3. Mengkadha Puasa Wajib
Puasa Ramadhan yang tertinggal tetap wajib dikadha pada bila-bila masa,
tetapi bulan Sya'ban pada tahun berkenaan merupakan masa atau pcluang
terakhir buat tahun itu untuk mengkadha puasa Ramadhan yang tertinggal.
Maksud peluang terakhir disini ialah bagi mengelakkan membayar fidyah,
kerana jika sudah masuk bulan Ramadhan kedua, sedangkan puasa Ramadhan
tahun yang sebelumnya belum dikadha, maka disamping kewajipan mengkadanya,
wajib pula mengeluarkan fidyahnya.
Bagi sesiapa yang masih belum mengkadha puasa Ramadhan tahun lepas,
eloklah mengambil kesempatan mengkadhanya pada bulan Sya'ban ini agar
tidak terkena wajib membayar fidyah.
Sehubungan dengan perkara wajib mengkadha puasa Ramadhan bagi wanita
wanita yang sedang berhaid di bulan Ramadhan, 'Aisyah Radiallahu'anh pemah
memberi keterangan kepada Mu'azah al'Adawiah yang antara lain berbunyi:
Maksudnya: 'Maka kita diperintahkan mengkadhapuasa (kerana kedatangan
haid) tidak disuruh mengkadha sembahyang yang tertinggal semasa kedatangan
haid)'.
(Hadis riwayat Muslim).
Dan bagi 'Aisyah sendiri yang' tidak sunyi dari menerima tabiat semulajadi
wanita itu, mengambil inisiatif mengkadha puasanya yang tertinggal di
bulan Sya'ban sebagaimana dalam hadis :
Maksudnya: 'Daripada 'Aisyah, katanya:
Saya mempunyai puasa Ramadhan yang tertinggal, dan saya tidak berupaya
menggantinya melainkan dalam bulan Sya'ban".
(Hadis disepakati Bukhari dan Muslim).
Dalam satu keterangan disebutkan 'Aisyah tidak berupaya mengkadha puasanya
dengan segera kerana kesibukannya melayan baginda Rasulullah Sallallahu
'Alaihi Wasallam sebelum masuk bulan Sya'ban. Bagaimanapun apabila bulan
Sya'ban muncul barulah dia berkesempatan mengkadha puasanya, kerana pada
bulan (Sya'ban ini baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sudah
mulai sibuk hendak menyambut bulan Ramadhan dengan berpuasa sunat.
Fidyah
Di antara makna Fidyah dalam hal puasa ialah bayaran denda kerana tidak
berpuasa Ramadhan dengan sebab-sebab tertentu atau kerana
melambat-lambatkan mengkadha puasa Ramadhan sehingga masuk Ramadhan
berikutnya.
Diantara sebab-sebab wajib mengeluarkan Fidyah puasa ialah:
1. Tidak berupaya berpuasa iaitu seseorang yang wajib berpuasa, tetapi
tidak sanggup lagi mengerjakannya disebabkan tua, lemah dan sekiranya dia
berpuasa tidak akan dapat menanggung kepayahannya.
2. Orang yang sakit yang tidak ada harapan sembuh dan tidak berupaya
melakukan puasa.
3. Perempuan hamil atau yang sedang menyusukan anak, iaitu jika sekiranya
mereka ini berpuasa, maka takut akan mendatangkan mudarat kepada anak yang
dikandung atau bolch mengurangkan air susu yang akan memberi kesan kurang
baik kepada anak yang menyusu.
4. Sesiapa tidak mengkadha Ramadhan pada tahun berkenaan sehingga masuk
Ramadhan berikutnya tanpa 'uzur syar'i.
Khusus bagi sebab yang keempat ini, maka bagi sesiapa yang telah
terlanjur melambat-lambatkan kadha puasa Ramadhan, padahal ia boleh
mengkadha puasanya itu dengan tiada 'uzur sehingga masuk Ramadhan
lain, maka tetaplah juga wajib ke atasnya mengkadhanya sebanyak
hari-hari Ramadhan yang ditangguhnya itu disamping itu wajib pula
mengeluarkan fidyah mengikut kadar hari-hari berkenaan, iaitu
sebanyak satu mud atau 15 tahil atau 566.99 gram beras untuk satu
hari.
Ertinya satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan maka fidyahnya satu
mud, jika dua hari, fidyahnya dua mud, jika tiga hari, fidyahnya tiga
mud begitulah seterusnya.
Walau bagaimanapun, kadar jumlah satu, dua atau tiga mud itu boleh
berganda. Umpamanya sehari puasa Ramadhan yang ditinggalkan fidyahnya
ialah satu mud, tetapi jika masuk tahun kedua belum dikadha fidyahnya
berganda menjadi dua mud. Masuk tahun ketiga menjadi tiga mud
sehinggalah dikadha dan begitulah seterusnya.
Jadi bagi sesiapa yang belum mengkadha puasa Ramadhannya, eloklah
mengkadhanya dalam bulan Sya'ban ini bagi mengelakkan fidyahnya
berganda lagi.
Perlu juga di ingat bahawa disamping kewajipan membayar fidyah, dan
mengkadha puasa Ramadhan,adalah wajib bertaubat tidak akan
meninggalkan puasa Ramadhan lagi atau melambatkan mengkadhanya jika
tidak ada 'uzur syar'i, kerana meninggalkan puasa Ramadhan tanpa'uzur
adalah haram, dan jika ditinggalkan juga tanpa, 'uzur, wajiblah
dikadha dengan segera, dan jika dilambat lambat mengkadha nya tanpa
'uzur hukumnya adalah haram.
Orang Yang Sudah Meninggal
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana 'uzur syar'i seperti sakit
atau dalam musafir sama ada satu hari atau lebih, kemudian dia mati
sebelum berkesempatan mengkadhanya, maka tidak wajib dikeluarkan fidyah
puasa yang ditinggalkannya itu. Dia juga tidak berdosa kerana dia dikira
tidak dapat melakukan yang wajib atasnya disebabkan suatu 'uzur atau
halangan yang dibenarkan syara'.
Bagaimana jika dia mati setelah berkeupayaan dan berpeluang mengkadhanya,
namun dia tidak mengkadhanya, maka pihak walinya tidak perlu mengganti
puasanya dan tidak sahhukumnya,kerana puasa itu dikira ibadah peribadi
yang tidak dapat diwakilkan semasa hidup.
Berkata Imam Nawawi:
Ertinya: 'Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan (kerana 'uzur syara'),
kemudian dia mati sebelum berkesempatan mengkadhanya, maka dia tidak wajib
membayar fidyahnya dan tidak berdosa. Dan jikalau dia mati selepas
berupaya mengkadhanya, walinya tidak perlu mengganti puasanya mengikut
Kaul Jadid, yang perlu ialah membayar fidyah puasanya bagi setiap hari
satu mud makanan yang diambil dari harta peninggalannya'. (Minhaj
at-Thalibin: 77).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan