Cari Blog Ini

Selasa, 25 September 2012


 Bab 6: Hadath

PENGERTIAN HADATH
  • Hadath dari segi bahasa bererti sesuatu yang datang atau berlaku.
  • Hadath dari segi syara‘ bermaksud sesuatu yang berlaku pada tubuh badan yang menyebabkan tidak sah sesuatu ibadah.
  • Ia terbahagi kepada hadath kecil dan hadath besar.
    1. Hadath kecil ialah sesuatu perkara yang membatalkan wudhu’.
    2. Hadath besar ialah sesuatu perkara yang mewajibkan mandi.

SEBAB HADATH DAN KESANNYA
  • Sebab hadath kecil adalah sebab yang membatalkan wudhu’. Maka kesan daripada berhadath kecil adalah terbatalnya wudhu’ dan diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:
    1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
    2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
    3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
  • Sebab hadath besar pula adalah berjunub, keluar haidh atau nifas dan melahirkan anak.
  • Apabila seseorang berhadath besar kerana berjunub, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:
    1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
    2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
    3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
    4. Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.
    5. Beri‘tikaf di dalam masjid.
  • Apabila seseorang berhadath besar kerana keluar haidh dan nifas, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:
    1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
    2. Berpuasa.
    3. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
    4. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
    5. Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.
    6. Masuk, duduk dan beri‘tikaf di dalam masjid walaupun dengan wudhu’.
    7. Bersetubuh.
    8. Talaq.
    CARA MENGHILANGKAN HADATH
  • Untuk menghilangkan hadath kecil ialah dengan berwudhu’ atau tayammum apabila tidak dapat melakukan wudhu’.
  • Untuk menghilangkan hadath besar ialah dengan mandi atau bertayammum sebagai ganti daripada mandi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan